Apakah Diabetes Melitus?
Diabetes Mellitus adalah sejenis gangguan atau
ketidakaturan yang menghalang badan dari menggunakan makanan dengan berkesan.
Karbohidrat ringkas (gula di dalam minuman ringan, kek, atau jem) dan
karbohidrat kompleks (kanji di dalam nasi dan mee) akan dihadamkan di dalam
badan untuk membentuk glukosa. Glukosa dalam aliran darah kemudiannya akan
dicernakan di dalam pelbagai tisu badan dan proses ini dikawalatur oleh
insulin. Insulin merupakan hormon yang dihasilkan oleh pankreas iaitu organ
kecil yang terletak di belakang perut. Tanpa insulin, glukosa tidak dapat
memasuki sel badan di mana ia digunakan sebagai sumber tenaga, sebaliknya
glukosa akan terkumpul di dalam darah dengan berlebihan dan menyebabkan
diabetes melitus.
Apakah yang
dimaksudkan Diabetes Mellitus semasa kehamilan?
Diabetes Mellitus (GDM) semasa kehamilan merupakan
keadaan di mana kandungan gula dalam darah tinggi semasa hamil dan ia dialami
oleh sesetengah wanita.
Apakah bezanya
antara diabetes semasa kehamilan dengan diabetes yang lain?
Di luar kehamilan, diabetes dikelaskan sama ada jenis 1 (Diabetes Mellitus
bersandarkan insulin, IDDM) atau jenis 2 (diabetes melitus tidak bersandarkan
insulin, NIDDM). Sebanyak 10% pesakit Diabetes menghidap
Diabetes jenis IDDM. Bagi kes IDDM, insulin yang dihasilkan oleh sel
b-islet di dalam pankreas adalah tidak mencukupi atau tiada langsung. Manakala
bagi NIDDM, reseptor insulin yang tidak sensitif dianggap menjadi penyebab
utama masalah ini dan pesakit NIDDM biasanya gemuk. Semasa kehamilan, kesan
insulin akan terganggu sedikit oleh berbagai-bagai hormon yang dihasilkan oleh
uri. Ini dikenali sebagai rintangan insulin. Beberapa hormon seperti estrogen,
kortisol dan "human placental lactogen" akan menyekat pengeluaran
insulin. Ia biasanya bermula pada pertengahan kehamilan (20-24 minggu). Semakin uri membesar
semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan
insulin yang terjadi. Bagi kebanyakan wanita, uri dapat menghasilkan insulin
tambahan untuk mengatasi rintangan insulin. Jika ia gagal maka GDM akan
berlaku. Biasanya pesakit akan pulih selepas melahirkan anak. Walau
bagaimanapun pesakit menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk menghidap
Diabetes kemudian nanti.
Adakah GDM
kerap berlaku?
Ia berlaku sebanyak 3-12% daripada semua
kehamilan.
Siapakah yang berisiko mengalami GDM?
Sesiapa sahaja boleh mengalami GDM semasa kehamilan. Pesakit yang
sememangnya menghidapi diabetes melitus berisiko tinggi menghidap GDM. Namun,
wanita boleh menghidap GDM tanpa sebarang penyakit diabetes sebelumnya.
Faktor-faktor yang berkaitan dengan kemungkinan berlakunya GDM termasuklah:
-
Sejarah keluarga menghidapi diabetes.
-
Wanita berumur (>35 tahun).
-
Wanita gemuk dengan indeks jisim badan >30.
-
Mengalami masalah yang berkaitan semasa hamil seperti hipertensi,
penghasilan cecair amnion berlebihan (polihidramnios), keguguran.
-
Pernah melahirkan bayi yang bersaiz besar sebelumnya, lahir mati, atau bayi
yang dilahirkan cacat.
-
Kandidiasis faraj yang berulang-ulang dan jangkitan kulat pada kulit.
Bagaimana
penyakit ini dikesan?
Lazimnya wanita tidak menunjukkan sebarang tanda amaran walaupun kemungkinan
sesetengah wanita merasa teramat dahaga, kerap buang air kecil dan kelesuan.
Ramai wanita yang menghidap GDM tidak menunjukkan sebarang faktor risiko.
Sesetengah pusat rawatan menyediakan ujian saringan antara 24-28 minggu
kehamilan. Namun dicadangkan anda menjalani ujian saringan glukosa (ujian
kerintangan glukosa oral yang diubahsuai, MOGTT) jika terdapat faktor risiko.
Apakah ujian
Tolerans Glukosa secara oral?
Ujian akan dijalankan selepas pesakit berpuasa semalaman dari pukul 10.00
malam sebelumnya. Sampel darah untuk menentukan paras gula dalam darah akan
diambil pada awal pagi diikuti meminum glukosa (75 gm glukosa di larutkan dalam
250ml air). Ujian ini selesai apabila pengukuran paras gula dalam darah diambil
2 jam berikutnya
Intepretasi hasil ujian
Aras glukosa dalam plasma vena (mmol/l)
Puasa
2 jam selepas glukosa diambil
_Tolerans glukosa yang terganggu
Bagaimana
diabetes memberi kesan ke atas kehamilan?
Ini bergantung pada tahap penjagaan kesihatan diri anda sendiri. Jika paras
gula di dalam darah dapat dikawal dengan baik sepanjang kehamilan, komplikasi
untuk mengalami masalah ini dapat dikawal dan dicegah. Jika paras gula di dalam
darah berlebihan, maka ia akan berpindah ke bayi menerusi uri.
Janin akan bertindak balas dengan menukarkan glukosa yang berlebihan kepada
lemak dan bayi ini akan menjadi terlalu besar (makrosomia). Bayi yang terlalu
besar akan menimbulkan kesukaran ketika pelahiran dan kelahiran dan
meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean. Sebagai tambahan
kepada makrosomia, GDM akan meningkatkan risiko hipoglisemia (paras gula yang
rendah di dalam darah) semasa bayi baru dilahirkan.
Paras gula di dalam darah bayi akan diawasi dengan teliti semasa penjagaan
bayi dan adalah perlu memberi glukosa secara intravena kepada bayi jika paras
gula terlalu rendah. Bayi juga mudah terdedah kepada Jaundis, ketidakimbangan
bahan kimia di dalam darah seperti paras serum kalsium dan magnesium yang
rendah, masalah pernafasan mahu pun kecacatan bayi. Adalah dipercayai bahawa
bayi yang bersaiz besar cenderung menjadi obes di masa akan datang. Semasa
dewasa, mereka juga akan cenderung untuk menghidapi diabetes jenis 2 (diabetes
yang tidak bersandarkan insulin).
Pemeriksaan ultrasound semasa antenatal adalah berguna untuk mengawasi saiz
janin dan mengesan polihidramnios serta keabnormalan janin. Seperti pesakit
diabetes yang lain, ibu yang hamil dengan GDM adalah berisiko tinggi untuk
mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, Diabetik
Ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit. Mereka juga mudah terdedah kepada
kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.
Adakah GDM
menjejaskan proses pelahiran dan kelahiran?
GDM itu sendiri bukanlah merupakan penunjuk bagi pembedahan Caesarean. Namun
jika bayi terlalu besar untuk menjalani kelahiran normal melalui faraj, atau
jika bayi dalam tidak dapat dilahirkan secara normal, maka kelahiran secara
Caesarean sangat diperlukan. Jika bayi sangat besar, ia kemungkinan akan
mengalami trauma semasa kelahiran, terutamanya kecederaan tulang dan saraf di
sekitar bahu.
Jika terapi insulin diperlukan semasa kehamilan, anda akan diberi suntikan
insulin pada waktu pagi semasa pelahiran bermula atau diberi melalui intravena
sepanjang proses pelahiran. Selepas bayi dilahirkan paras gula di dalam darah
biasanya akan kembali ke paras normal dan insulin tidak diperlukan lagi.
Bagaimana
rawatan terhadap GDM?
Langkah pertama ialah mengawal paras glukosa di dalam darah dengan
pengubahsuaian diet. Senaman sederhana secara tekal juga berguna untuk
memperbaiki tolerans glukosa. Jika pendekatan melalui pemakanan tidak berkesan,
terapi insulin diperlukan. Paras glukosa perlu diawasi selalu jika terapi insulin telah
dimulakan. Jika anda memang menghidap diabetes dan bercadang untuk hamil, anda
perlu berusaha untuk mengawal diabetes pada tahap optima beberapa bulan sebelum
mengandung kerana paras glukosa yang tinggi semasa trimester pertama akan
meningkatkan risiko kelahiran bayi cacat.
Mengapa diet
yang khusus disyorkan?
Diet seimbang yang berkhasiat amat perlu
untuk mengekalkan kesihatan ibu yang sihat dan kehamilan yang berjaya. Bagi
wanita yang mengalami GDM, diet yang sempurna dapat memastikan paras gula dalam
darah adalah normal dan secara amnya ia adalah langkah pertama yang dilakukan
sebelum menggunakan terapi insulin. Tumpukan sepenuh perhatian terhadap
pengambilan kalori setiap hari dan pemilihan makanan yang betul untuk
mengekalkan paras gula di dalam darah. Keperluan kalori
setiap hari meningkat sebanyak 300 kalori semasa trimester kedua dan ketiga
kehamilan. Jika pengambilan kalori semasa tidak hamil adalah 1800 kcal sehari
dan berat badan kekal, pengambilan kalori sebanyak 2100 kalori setiap hari adalah
biasa dari tempoh 14 minggu kehamilan hingga proses kelahiran.
Berikut adalah pola pemakanan yang baik untuk mengekalkan paras gula yang
normal di dalam darah:
-
Elakkan gula dan makanan yang tinggi kandungan gulanya (kek, aiskrim,
-
Mengambil karbohidrat kompleks (bijirin, kekacang, peas, sayur-sayuran, dan
makanan berkanji).
-
Mengambil makanan yang kaya serat (buah-buahan, sayur-sayuran, legum, roti
gandum tulen, dan lain-lain).
-
Memastikan diet yang rendah lemak, terutama lemak tepu (mentega, daging
berlemak, krim dan lain-lain). Pilihlah hirisan nipis daging dan ayam tanpa
kulit. Elakkan makanan yang bergoreng.
Perlukah melakukan senaman?
Program senaman setiap hari dapat membantu anda merasa selesa,
mengurangkan ketegangan mahu pun mengelakkan sakit belakang, mengekalkan tona
otot, kekuatan dan ketahanan. Bagi wanita yang menghidapi GDM, ia sangat
penting. Selalu bersenam dapat meningkatkan keupayaan atau potensi insulin di
dalam badan. Ini dapat memastikan paras normal gula di dalam darah disamping
mengurangkan penggunaan insulin. Senaman yang sederhana juga dapat membantu
mengurangkan selera makan dan menurunkan berat badan ke paras normal.
Ia sangat penting untuk mencegah paras gula yang tinggi di dalam darah.
Walau bagaimanapun, penjagaan yang khusus perlu diambil untuk mengelakkan sukan
atau senaman yang mungkin menyebabkan anda jatuh, atau yang melibatkan
sentakan. Aktiviti berbasikal dan berjoging sebelum hamil merupakan contoh
senaman yang baik untuk diteruskan semasa kehamilan. Berjalan-jalan adalah baik
untuk wanita yang sebelum ini tidak aktif dan ingin mula bersenam semasa hamil.
Senaman secara tekal selama 4-5 hari setiap minggu adalah perlu untuk
merendahkan paras gula dalam darah. Berhenti bersenam jika anda merasa sakit, pening,
sesak nafas, pitam, debaran jantung, sakit belakang atau sakit di bahagian
pelvis, atau pernah mengalami pendarahan faraj.
The American College of Obstetricians &
Gynecologists (ACOG) mencadangkan meminum cecair sebelum dan selepas senaman
dan jika perlu, semasa sedang bersenam untuk mengelakkan dehidrasi. Terlalu kuat bersenam mungkin menyebabkan rahim dan janin tidak mendapat
bekalan darah yang cukup. ACOG mengesyorkan wanita hamil mengukur kadar degupan
jantung semasa melakukan aktiviti. Kadar degupan jantung ibu yang mengandung
sepatutnya tidak melebihi 140 denyutan seminit.
Apakah yang
berlaku jika amalan diet dan senaman gagal mengawal paras gula dalam darah?
Jika paras gula di dalam darah cenderung untuk melebihi julat normal, anda
perlu mengambil suntikan insulin. Insulin tidak boleh diberi secara oral kerana
ia akan dihadamkan seperti protein di dalam makanan dan menyebabkan kesan
terapeutiknya hilang. Ia diberi secara suntikan di bawah kulit dengan
menggunakan jarum yang sangat halus, oleh itu anda akan merasa tidak selesa
sedikit ketika suntikan diberi. Ia selalu dilakukan oleh anda sendiri dan anda
akan diajar oleh doktor bagaimana untuk melakukannya. Jumlah insulin yang
diperlukan untuk memastikan paras gula adalah dalam julat normal akan meningkat
mengikut perkembangan kehamilan. Ini tidak bermakna GDM semakin teruk. Uri yang
membesar seiring dengan berlanjutnya kehamilan akan menghasilkan paras hormon
kontra-insulin yang lebih tinggi. Akhirnya anda memerlukan lebih insulin untuk
mengatasi kesannya.
Adakah anda
perlu mengambil insulin?
Ya. Ini kerana walaupun diet dijaga dengan baik, paras gula dalam darah
sesetengah wanita masih tidak berada dalam julat yang boleh diterima. Wanita
hamil yang bebas dari GDM jarang mempunyai paras glukosa dalam darah yang
melebihi 6 mmol/l sebelum sarapan di waktu pagi atau 2 jam selepas bersarapan.
Sasaran optima bagi pesakit GDM ialah mempunyai paras gula dalam darah yang
sama dengan wanita yang tidak mengalami diabetes.
Jika paras gula ketika berpuasa melebihi 6 mmol/l atau jika 2 jam selepas
makan, paras gula masih melebihi 8 mmol/l pada dua masa yang berasingan, terapi
insulin amnya diperlukan. Keupayaan untuk melakukan sendiri pengawasan glukosa
di dalam darah membolehkan terapi insulin dimulakan sebaik sahaja tanda awal
paras gula yang tinggi dikesan. Dengan itu janin dapat dicegah dari terdedah
kepada paras glukosa yang tinggi dalam darah ibu.
Bagaimana
mengendalikan suntikan insulin?
Doktor atau jururawat terlatih akan mengajar anda teknik suntikan insulin
apabila rawatan diperlukan. Ia merupakan suntikan yang biasanya dilakukan di
bawah kulit di bahagian tisu subkutaneus. Kawasan suntikan yang biasa ialah
bahagian lengan atas (kawasan deltoid) atau di bahagian anterior peha atas.
Suntikan di bahagian abdomen patut dielakkan.
Penjagaan
ubat-ubatan dan jarum
Insulin mesti disimpan di bahagian kering dalam peti sejuk, seperti di
tempat menyimpan hasil tenusu. Jarum boleh digunakan berulang kali dengan
syarat ia dibersihkan selepas digunakan dan dibuang apabila susah untuk
disuntik atau apabila suntikan menyebabkan rasa sakit.
Apakah yang
berlaku jika paras gula di dalam darah menjadi lebih rendah?
Paras gula yang rendah di dalam darah (hipoglisemia) merupakan komplikasi
yang mungkin berlaku jika seseorang telah mengambil terapi insulin untuk GDM.
Ini mungkin berlaku jika anda lambat mengambil sarapan atau bersenam lebih dari
yang biasa. Ia merupakan kes kecemasan dan perlu dirawat dengan teliti. Jika
terdapat gejala hipoglisemia (kekeliruan, pening, penglihatan kabur,
berpeluh, terketar-ketar, tersangat lapar) anda perlu mengambil sebarang bentuk
gula dengan segera. Apabila anda menggunakan insulin, anda perlulah membawa
gula atau makanan/minuman manis (kandi yang manis, minuman berglukosa) sebagai
langkah berjaga-jaga. Doktor perlu diberitahu mengenai sebarang reaksi
hipoglisemia yang berlaku. Ia mungkin menyebabkan pengubahsuaian terapi insulin
yang anda jalani.
Apakah yang
perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah yang berkaitan dengan GDM?
Diet pesakit yang mengalami GDM mestilah mencukupi untuk membekalkan
pemakanan yang dapat memenuhi keperluan ibu dan bayi yang sedang berkembang.
Pada masa yang sama diet yang diambil boleh mengekalkan paras normal glukosa di
dalam darah. Ibu yang menghidapi GDM boleh diajar caracara mengukur paras
glukosa di dalam darah di rumah untuk memastikan ia berada di paras yang
dibenarkan. Keupayaan pesakit untuk menentukan paras gula dalam darah melalui
penggunaan peralatan merupakan satu lagi kejayaan penting dalam pengurusan
penyakit diabetes. Teknik ini dikenali sebagai pemantauan sendiri glukosa di
dalam darah dan ia membenarkan anda memeriksa sendiri paras gula darah sama ada
di rumah atau di tempat kerja tanpa melibatkan kos dan menjimatkan masa untuk berjumpa
doktor.
Apakah yang
dimaksudkan pemantauan sendiri glukosa di dalam darah?
Apabila anda telah didiagnos menghidap GDM, adalah penting bagi anda
mengetahui paras gula di dalam darah dari sehari ke sehari. Anda juga harus
mengetahui bagaimana corak pemakanan dan cara senaman mempengaruhi paras gula
di dalam darah anda. Semakin lanjut kehamilan, uri akan membebaskan lebih
banyak hormon yang akan bertindak ke atas insulin. Menguji paras gula di dalam
darah pada waktu tertentu dalam sehari dapat mengetahui jika diet yang sempurna
dan peningkatan berat badan dapat mengekalkan paras normal gula di dalam darah
atau jika insulin yang lebih diperlukan untuk melindungi janin. Pemantauan
sendiri glukosa di dalam darah boleh dilakukan dengan mencucuk jari untuk
mendapatkan titis darah dan disukat dengan menggunakan alat khas untuk mendapat
bacaannya.
Doktor boleh menasihatkan anda bagaimana untuk mendapatkan alat ini. Anda
mungkin perlu menguji darah anda beberapa kali dalam sehari. Secara amnya, ia
dilakukan sebelum makan. Setiap pesakit boleh mempunyai jadual sendiri untuk
tujuan pengukuran
Apakah
ujian-ujian lain yang perlu diketahui?
Selain daripada ujian darah, anda juga dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan
air kencing untuk mengesan kehadiran keton. Keton adalah hasil sampingan dari
penguraian lemak. Ia boleh dijumpai di dalam darah dan air kencing akibat
insulin yang tak mencukupi atau kalori yang tidak mencukupi dalam diet anda.
Walaupun tidak diketahui jumlah keton yang boleh mengancam janin, keton yang
banyak akan disertai dengan asidosis, iaitu satu keadaan yang boleh mengancam
janin.
Sebagai langkah keselamatan, anda perlu mengawasi kehadirannya dalam air
kencing dan melaporkan sebarang keputusan yang positif kepada doktor. Untuk
menguji kehadiran keton di dalam air kencing, anda boleh menggunakan jalur
ujian khusus yang telah dirawat dengan bahan kimia. Ujian dapat dilakukan
dengan mendedahkan sehelai jalur pakai buang pada aliran air kencing atau
mencelup jalur ke dalam bekas yang mengandungi air kencing. Jalur akan berubah
warna bergantung kepada jumlah keton yang hadir di dalam air kencing. Warna
jalur bolehlah dibandingkan pada carta untuk menunjukkan paras keton. Penasihat
kesihatan boleh menasihatkan anda masa yang sesuai untuk melakukan ujian dan
berapa kerap anda perlu melakukannya.
Adakah anda
perlu mempunyai jadual pemeriksaan lanjutan antenatal?
Apabila anda disahkan menghidap GDM, anda dicadangkan untuk menjalani
pemeriksaan antenatal setiap 2 minggu sehingga kehamilan anda berusia 32 minggu
dan selepas itu lakukan pemeriksaan setiap minggu sehinggalah melahirkan bayi.
Semasa pemeriksaan, imbasan ultrasound akan dilakukan untuk mengesan sebarang
keabnormalan dan komplikasi di samping mengawasi tumbesaran janin. Profil gula di dalam darah akan diperiksa sekurang-kurangnya setiap 2
minggu untuk menilai keberkesanan pengawalan diabetes anda.
Saya adalah wakil Shaklee anda untuk penghantaran serata Malaysia. Pilihan COD di kawasan Equine, Taman Puncak Jalil, Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan Bandar Kinrara Kajang Bandar Baru Bangi Puchong dan Serdang.
Pertanyaan, konsultasi dan pesanan boleh hubungi saya di:
Aniesz Ceasar 0193878986_