Tuesday, March 4, 2014

BEZA CYST DAN FIBROID

FIBROID kebiasaannya terletak dalam rahim, manakala ‘cyst’ kebiasaannya pada ovari (kiri atau kanan). Dengan kehadiran fibroid, jenis ‘cyst’ ovari yang anda hidapi kebiasaannya ‘endometriotic cyst’.

Selain ‘endometriotic cyst’, ada pelbagai ‘cyst’ lain pada ovari. Punca sebenar kedua-dua penyakit ini (fibroid dan endometriotic cyst) tidak diketahui, tetapi ia berkaitan hormon estrogen yang banyak dihasilkan sewaktu usia reproduktif (bermula baligh sehingga menopaus) tanpa mengira sama ada sudah berkahwin mahupun belum.

Dua penyakit ini sering berkaitan. Rawatan lebih bergantung kepada tanda-tanda dialami seperti sakit dan seumpamanya, saiz serta keperluan kehamilan.

Ia bukanlah barah, namun untuk kepastian sebenar, ia hanya dapat diketahui sewaktu pembedahan dan ujian histopatologi makmal ke atas ‘cyst’ serta fibroid berkenaan.

Berjumpalah doktor untuk pemeriksaan. Fibroid dan ‘endometriotic cyst’ tidak hilang sendiri. Saiznya dijangka mengecil hanya selepas menopaus (berikutan kekurangan hormon estrogen) ataupun dengan penggunaan ubatan tertentu (buat sementara waktu sahaja).

Pemeriksaan perlu untuk memantau pembesaran saiz serta tanda-tanda berkaitan. Anda berhak membuat sebarang keputusan, tetapi biarlah selepas mendapat penjelasan dan pandangan doktor.

Peringkat lanjut endometriosis mempunyai kaitan dengan masalah kesuburan.

Fibroid pula sebaliknya, ia kebiasaannya tidak menyebabkan masalah kesuburan, kecuali pada kedudukan berhampiran bukaan saluran falopian (dikhuatiri menghalang laluan sperma) atau jika ia membesar ke dalam ruang rahim dan membentuk polip. Ini jarang berlaku.

No comments:

Post a Comment