Thursday, February 13, 2014

Jaundis / Jaundice - masalah kuning pada bayi

[Artikel ini dipetik daripada Majalah IBU & ANAK : November 2013]


JAUNDIS MENGUNDANG MASALAH SERIUS

Jaundis cukup sinonim dengan bayi yang baharu lahir. Disebabkan itu,kebanyakan 
ibu bapa tidak terlalu risau akan masalah ini terutamanya jika jaundis bayi mereka
 tidak teruk. Bagaimanapun, jaundis yang dibiarkan tanpa rawatan mampu 
mengundang kecacatan kekal pada bayi.

Bila bayi yang lahir diberitahu ada jaundis, tidak banyak ibu bapa yang risau jika tahap
kuning itu rendah. Malah, tidak kurang juga yang yakin kaedah tradisional – mendedahkan
bayi pada cahaya suria pagi – sudah memadai untuk mengatasi masalah kuning yang 
sedikit pada bayi.

Menurut pakar perunding pediatrik, KPJ Kajang Specialist Hospital, Dr. Asmunni Yahya,
 jaundis bukanlah sejenis penyakit. Dalam bahasa Perancis perkataan ‘jaun’ memberikan
 maksud kuning, dan ‘jaundis’ atau ‘jaunisse’ bermaksud gejala kekuningan.

“Jaundis mula terhasil apabila bilirubin berlebihan di dalam darah mula mendap di dalam
 tisu kulit. Keadaan inilah yang mencetuskan perubahan warna kulit di mana warna 
kekuningan mula kelihatan,” katanya. Bilirubin ialah bahan kimia yang dihasilkan 
semasa penguraian normal sel darah merah.

Lampu biru atau fototerapi dapat mengurangkan tahap bilirubin

“Ada beberapa sebab yang menjadikan gejala jaundis berlaku pada bayi. Factor 
pertama adalah kelahiran bayi itu sendiri. Kajian mengatakan bayi yang lahir tidak cukup bulan kemungkinan 80 peratus daripada mereka akan diserang symptom jaundis.
 Manakala bayi yang cukup bulan dan matang, hanya 60 peratus mungkin menerima
 jaundis.

“Bukan itu sahaja, sel darah bayi juga turut menyumbang kepada jaundis. Secara normal, 
bayi yang baharu lahir mempunyai sel darah merah yang lebih tinggi berbanding orang 
dewasa. Selain itu, jangka hayat haemoglobin bayi adalah lebih singkat iaitu 70 hingga 
90 hari, berbanding orang dewasa 120 hari.”


“Dengan struktur haemoglobin yang mudah hancur, bilangan sel darah merah yang lebih
 banyak dan jangka hayat yang lebih pendek, bilirubin mudah terurai. Sepatutnya bilirubin
 ini akan diproses di hati menjadi bilirubin konjugat yang larut air untuk dikumuhkan ke 
dalam najis. Namun disebabkan ia terurai dengan banyak dan hati bayi yang belum matangmembuatkan hati tidak dapat memproses kesemuanya,” jelas Dr. Asmunni.

JAUNDIS MENGUNDANG MASALAH SERIUS

PUNCA KUNING

Bilirubin yang tidak mampu diproses oleh hati akan mendap di tisu dan berlaku perubahan
 warna kuning pada kulit dan mata.

Selain itu, jaundis juga boleh terjadi kepada bayi yang mengalami kecederaan semasa 
lahir seperti kelahiran yang menggunakan forceps atau vakum. Penggunaan alat ini
 boleh mengundang lebam pada kepala bayi dan darah beku yang terhasil pada kulit itu 
boleh meningkatkan penghasilan bilirubin.

Kelahiran dengan bantuan forseps menyebabkan lebam pada kepala bayi

“Jaundis juga boleh disebabkan oleh jangkitan kuman pada bayi. Malah jaundis juga boleh merencatkan aktiviti perkumuhan hati bayi seterusnya menghasilkan peningkatan bilirubin 
di dalam darah,” jelasnya.

Tambah Dr. Asmunni, penyebab lain terjadinya jaundis kepada bayi yang baharu lahir adalah
 masalah ketidakserasian darah ibu dan anak, masalah kekurangan enzim G6PD, masalah 
hormone tiroid yang rendah (hipotirodisme) serta masalah hati dan hempedu (biliary atresia 
dan sindrom Dubin Johnson).

Jaundis juga boleh terjadi akibat enzim tertentu yang terdapat dalam susu ibu. ‘Breast Milk 
Jaundice’ biasanya terjadi selepas seminggu kelahiran bayi dan tidak ada kena mengena 
dengan penyebab jaundis yang lain. Enzim dalam susu ibu ini menyebabkan penyerapan 
semula bilirubin yang telah diproses ke dalam system darah, seterusnya terjadi pemendapan
 pigmen bilirubin dalam kulit bayi.

RAWATAN

Rawatan paling berkesan seperti yang disyorkan oleh doctor bagi mengatasi jaundis 
adalah member susu ibu kepada bayi secara kerap – sekurang-kurangnya 10 kali sehari.

“Jika ditanya rawatan apakah yang paling berkesan untuk jaundis, sudah tentu member 
susu sekerap yang mungkin kepada bayi. Ini kerana bilirubin yang ada di dalam darah boleh disalurkan melalui najis. Disebabkan itulah, ibu seharusnya rajin member susu biarpun bayi 
mereka nyenyak tidur. Kejut dan susukan bayi mereka sehingga kenyang. Pada masa yang 
sama, aka nada pergerakan usus yang boleh mengurangkan tahap bilirubin,” ujar Dr. Asmunni.
Apabila tahap bilirubin mula mencatat jumlah yang tinggi di dalam darah, bayi akan dirawat 
dengan meletakkan bayi di bawah lampu biru atau fototerapi. Cahaya lampu ini membantu memecahkan bilirubin berlebihan. Biasanya proses ini akan dilakukan di pusat jagaan bayi 
di hospital.

Namun jika bacaan bilirubin terlampau tinggi, kaedah pertukaran darah disyorkan untuk rawatan jaundis. Dalam situasi ini, darah dari bank darah di hospital akan digantikan untuk bayi tersebut. Biasanya proses ini memakan masa selama empat jam.

Bukan itu sahaja, rawatan intravenous immunoglobulin (IVIg) turut dijadikan alternative bagi 
rawatan jaundis. Bagi contoh kes ketidakserasian darah ibu dan anak rawatan ini akan 
digunakan bagi mengurangkan bacaan bilirubin.

KESAN

Ramai ibu bapa yang risau akan kesan jaundis terhadap kesihatan anak mereka. Bahaya 
atau tidak jaundis adalah bergantung kepada tahap jaundis itu sendiri. Jika tahap bacaan 
bilirubin terlalu tinggi, maka ada bilirubin yang tidak larut air akan bergabung dengan albumin 
di dalam darah untuk dibawa ke hati.

Namun sekiranya tahap bilirubin yang tidak larut air terlampau tinggi, ia boleh meresap ke dalam system otak di mana pigmen bilirubin menjadi toksik kepada otak. Ia boleh mendatangkan risiko kepada urat saraf di bahagian otak bayi. Kerencatan kekal pada otak, yang dikenali sebagai kernikterus, juga terjadi kepada bayi yang mengalami gejala jaundis malah mereka mungkin 
terdedah kepada kecacatan otak seperti palsi serebrum, sawan, terencat akal dan pekak.

No comments:

Post a Comment